Rasa kebas di hujung jari kededua tangan dan kaki mungkin tampak remeh bagi sesetengah orang.
Namun bagi Cik Norhasikin Omar, 55 tahun, simptom itu menjadi permulaan kepada proses pemulihan yang panjang dan mencabar selama 61 hari di hospital.
Ini termasuk rawatan intensif dan kehilangan keupayaan untuk bergerak — sebelum akhirnya didiagnosis dengan Sindrom Guillain-Barré (GBS), sejenis penyakit autoimun yang jarang berlaku.
Menurut Ketua dan Perunding Kanan, Jabatan Neurologi, Institut Neurosains Kebangsaan (NNI) @ Hospital Besar Changi (CGH), Dr Koh Yeow Hoay, GBS sukar untuk dikenal pasti pada peringkat awal kerana simptomnya yang tidak spesifik dan berbeza antara pesakit.
“Sindrom Guillain-Barré sukar didiagnosis kerana simptom awal seperti kebas, kelemahan otot, rasa mencucuk-cucuk dan sakit belakang akut adalah umum dan boleh menyerupai pelbagai gangguan neurologi lain,” jelas beliau.
Sempena Bulan Kesedaran Sindrom Guillain-Barré (GBS) yang disambut setiap Mei, Cik Norhasikin mengongsi cabaran dan ketabahan yang dihadapi pesakit GBS yang sering kali boleh menyebabkan kelumpuhan jika tidak dirawat segera. GBS berlaku hanya antara 1 hingga 2 orang daripada setiap 100,000 orang dijangkiti setiap tahun, selari dengan statistik global, kata Dr Koh.
“Pada mulanya, kami hanya ingin mendapat tahu kenapa mula rasa kebas dan tidak sangkakan yang teruk,” kata suami Cik Norhasikin, Encik Emran Wahid, 59 tahun, mengimbau kembali detik awal ketika isterinya mula mengadu rasa tidak selesa di tangan dan kakinya pada Jun 2024.
Mereka segera mendapatkan rawatan di klinik, sebelum dirujuk ke poliklinik dan seterusnya ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E).
“Doktor pada masa itu anggap simptom isteri saya biasa sahaja. Tapi naluri saya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena,” kata Encik Emran kepada Berita Harian (BH).
Beliau dimasukkan ke hospital pada Jumaat, dan sepanjang hujung minggu itu, Cik Norhasikin hanya ditempatkan di ruang pemerhatian tanpa katil tetap — walaupun keadaannya kian merosot dakwa Encik Emran.
Rasa kebas merebak, tubuhnya mula terasa lemah dan penglihatannya turut terjejas.
“Orang lain lihat satu jari, saya nampak empat,” kata suri rumah dan ibu kepada tiga anak perempuan itu. Beliau juga kini nenek kepada tiga cucu.
Keadaan itu membimbangkan doktor. Cik Norhasikin menjalani tiga imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), diambil 12 sampel sumsum tulang, dan akhirnya dimasukkan ke wad rawatan separa rapi, sebelum dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) apabila pernafasannya menjadi tidak stabil.
Pada masa itu, beliau juga disahkan mengalami jangkitan paru-paru.
“Waktu itu kami benar-benar takut kehilangannya dan tidak putus doa agar beliau pulih segera,” kata Encik Emran, seorang pemandu peribadi.
Cik Norhasikin dirawat selama 14 hari di ICU. Ketika di sana, beliau mengalami kemurungan akibat kesunyian dan keadaan yang tidak menunjukkan perubahan.
Namun, segalanya berubah apabila beliau mendapat tahu bahawa anak perempuannya sedang mengandung cucunya ketiga.
“Berita itu beri saya semangat untuk terus lawan penyakit yang saya alami. Selain itu, anak kedua saya juga dijadualkan bernikah pada Disember tahun itu (2024),” ujar Cik Norhasikin.
Beliau kemudian dipindahkan ke wad separa rapi dan seterusnya ke pusat pemulihan di mana fisioterapi dan senaman menjadi rutin hariannya.
Sedikit demi sedikit, semangat beliau kembali pulih. “Dengan setiap pergerakan kecil, kami nampak harapan,” kata Encik Emran.
Selepas hampir dua bulan di hospital, barulah doktor mengesahkan bahawa Cik Norahasikin menghidap Sindrom Guillain-Barré.
Beliau juga menerima rawatan plasmapheresis — satu kaedah menapis antibodi berbahaya dalam darah — dan sokongan serum fosfat untuk membantu pemulihan sarafnya.
“Rawatan bagi GBS tertumpu pada usaha mengurangkan simptom yang teruk dan mempercepatkan pemulihan,” kata Dr Koh.
“Memandangkan ia penyakit autoimun, imunoterapi seperti plasmapheresis dan terapi Iiunoglobulin intravena boleh membantu meneutralkan atau membuang antibodi berbahaya dalam tubuh pesakit.”
Kini, Cik Norhasikin sudah boleh berjalan dan menjalani hidup dengan lebih berdikari.
“Kalau sesiapa alami simptom begini, tolong jangan tangguh. Dapatkan rawatan secepat mungkin. Yang paling penting, beri sokongan emosi dan semangat kepada pesakit. Itulah yang bantu isteri saya pulih,” pesan Encik Emran.
Dr Koh turut menasihatkan orang ramai agar peka dengan tanda awal seperti rasa kebas atau kelemahan otot, terutama jika ia berlaku secara tiba-tiba dan semakin merebak.
“Banyak keadaan boleh menyebabkan kebas atau lemah otot. Tetapi jika simptom ini muncul secara mendadak dan merebak ke badan, ia mungkin petanda keadaan neurologi serius seperti GBS. Rawatan awal boleh memberi kesan besar terhadap peluang pemulihan pesakit,” tambah beliau.
“Inilah peluang kedua saya. Saya bersyukur masih hidup, boleh berjalan, dan berada di sisi keluarga,” syukur Cik Norhasikin.
Keep Healthy With
© 2025 SingHealth Group. All Rights Reserved.